Edisi 31
Tema kali ini sarat dengan keriangan, gelak tawa dan peluang pembelajaran yang menyeronokkan. Riang Ria Cuti membawa kegembiraan dan kebebasan kepada insan yang bergelar murid. Sekiranya mereka sebelum ini disibukkan dengan kerja rumah, inilah peluangnya untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti mencari harta karun.
Edisi 30
Perjalanan jauh sebenarnya merupakan satu peluang untuk para pembaca memperoleh pengalaman yang baru. Tempat -tempat menarik seperti muzium, tapak bersejarah serta institusi pendidikan boleh dilawati untuk menambah ilmu pengetahuan. Melalui tema ini, para pembaca akan diperkenalkan dengan topik-topik yang akan membuka ruang fikiran anda. Secara tidak langsung, ia akan menjadikan anda lebih peka dengan keadaan sekeliling.
Edisi 29
Tema kali ini bukan tertumpu kepada kesihatan fizikal semata-mata, tetapi ingin menitikberatkan kemahiran-kemahiran hidup yang penting, perkembangan sosial dan jati diri. Bukan itu sahaja, tema ini mempersiapkan para pembaca untuk menjadi insan serba boleh. Para pembaca juga akan didedahkan dengan sukan-sukan yang boleh dijadikan hobi ketika masa lapang.
Edisi 28
Berbanggalah menjadi anak Malaysia! Itulah mesej utama yang ingin disampaikan pada tema kali ini. Tema kali ini cuba menerapkan identiti kebangsaan, nilai patriotisme dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan bangsa ke dalam diri para pembaca. Tema ini menyentuh kisah-kisah tokoh yang pernah menyumbang keringat mereka untuk meletakkan nama Malaysia di mata dunia.
Edisi 27
Tema ini merangkumi kebebasan dan semangat patriotik melalui kisah-kisah yang mampu menjadi inspirasi. Kekayaan budaya, tokoh-tokoh ikonik dan lagu-lagu patriotik yang menjadi identiti Malaysia akan diketengahkan dalam majalah edisi kali ini. Kenang jasa wira-wira masa lampau di samping raikan perpaduan masa kini. Jiwaku Merdeka adalah penghormatan kepada semangat juang yang kental dan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air.
Edisi 26
Tema kali ini menyasarkan untuk meningkatkan keyakinan diri, menanamkan perasaan ingin tahu dan menyemai perkembangan minda. Dengan bimbingan yang diberikan dalam bentuk infografik untuk memaksimakan kebolehan sebenar para pembaca, anda akan lebih memahami dan menyedari potensi sebenar diri anda sambil menikmati proses tersebut.
Edisi 25
Laut, sungai, tasik, kolam dan juga paya merupakan antara ekosistem akuatik yang kaya dengan biodiversiti. Ia memainkan peranan yang amat penting untuk memelihara alam sekitar. Tema ini cuba untuk memberi kesedaran kepada para pembaca tentang pentingnya ekosistem akuatik. Ia mempersiapkan para pembaca dengan kemahiran dan nilai tertentu bagi memelihara dan memulihara ekosistem akuatik.
Edisi 24
Pilihan kerjaya perlu didedahkan kepada kanak-kanak sejak peringkat awal lagi. Hal ini kerana ia merupakan sebahagian daripada aspek yang penting untuk perkembangan mereka. Melalui tema ini, anda akan dibimbing untuk membuat pilihan kerjaya masa hadapan serta mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang akan memberi manfaat dalam kehidupan.
Edisi 23
Hubungan kekeluargaan memainkan peranan yang amat besar dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Meskipun teknologi sudah digunakan semakin meluas pada masa kini, ia bukannya alasan untuk mengabaikan hubungan antara ahli keluarga. Sesuai dengan sambutan Aidilfitri, tema ini dipilih untuk memberi kesedaran kepada para pembaca tentang kepentingan menjalin hubungan yang baik sesama ahli keluarga.
Edisi 22
Kanak-kanak semestinya suka apabila diberi peluang untuk bermain sama ada dengan ibu bapa mahupun kawan-kawan. Tema kali ini ingin membawa mereka ke dunia permainan di mana mereka bukan sahaja boleh berseronok, bahkan mempelajari nilai-nilai pendidikan, pengetahuan dan kemahiran. Tema kali ini juga menyentuh topik berkaitan mainan daripada perspektif sains, teknologi, gaya hidup dan juga kesihatan.
Edisi 21
Sekolah merupakan tempat murid menuntut ilmu, meraih pengalaman dan juga mengasah kemahiran. Tema ini ingin memperkenalkan para pembaca tentang keseronokan yang boleh diraih ketika berada di sekolah. Topik-topik yang menarik seperti aktiviti persekolahan, persekitaran sekolah dan juga tip-tip untuk beradaptasi di sekolah turut dikongsikan.
Edisi 20
Setiap hari merupakan sebuah peluang yang diberikan untuk menjadikan diri lebih baik. Azam baru perlu ditanam selari dengan ketibaan tahun baru. Matlamat utama tema kali ini adalah untuk membantu para pembaca mencipta permulaan yang indah pada tahun baru dengan menerokai perkara-perkara yang baru di samping menggalakkan untuk lihat jauh ke hadapan melalui topik-topik yang dibincangkan.
Edisi 19
Tema ini mengandungi informasi berkenaan aktiviti yang boleh dilakukan ketika cuti sekolah. Menerusi segmen akademik yang menarik perhatian, para pembaca pasti tidak akan jemu untuk belajar meskipun ketika cuti sekolah. Anda juga boleh mengikut tip-tip berkenaan persediaan ketika bercuti.
Edisi 18
Nilai empati, kesyukuran dan kesedaran terhadap mereka yang kurang bernasib baik perlu ditanam dalam diri kanak-kanak sejak kecil lagi. Tema kali ini menerapkan nilai kasih sayang dalam diri para pembaca supaya tidak berasa takut untuk menghadapi golongan ini. Bukan itu sahaja, anda juga akan lebih cenderung untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik.
Edisi 17
Tema ini bertujuan memberi pengetahuan dan pendedahan kepada para pembaca tentang makanan yang sihat dan seimbang. para pembaca perlu dididik dan didedahkan tentang kepentingan pemakanan yang baik sejak kecil lagi. Melalui segmen yang ada, para pembaca akan maklum tentang amalan gaya hidup sihat di rumah.
Edisi 16
Dalam era yang sedang berkembang dengan pesatnya, penggunaan teknologi telah digunakan secara meluas dalam semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia. Tema kali ini akan membuka minda para pembaca tentang kecanggihan teknologi yang digunakan untuk mempercepatkan proses yang dialami oleh manusia, tidak terhad kepada komputer dan telefon pintar.
Edisi 15
Melalui tema ini, para pembaca dapat mengetahui sumbangan individu yang telah memberikan sumbangan kepada negara dalam pelbagai bidang. Bentuk sumbangan yang dibuat oleh individu berkenaan mendorong anda melakukan perkara yang sama dalam membantu orang lain. Hal ini kerana sifat para pembaca yang mudah dipengaruhi oleh apa yang mereka lihat dan baca, terutamanya apabila ia dipaparkan dalam bentuk infografik dan komik yang menarik.
Edisi 14
Peribahasa Melayu ada menyebutkan "Sediakan Payung Sebelum Hujan". Peribahasa ini membawa maksud berwaspada sebelum ditimpa kesusahan. Tema kali ini mendidik para pembaca untuk bersedia dalam apa jua keadaan khususnya ketika perubahan iklim dan cuaca.
Edisi 13
Tema kali ini menyasarkan agar para pembaca dapat membezakan jenis-jenis haiwan. Mereka juga dapat mengetahui fakta menarik berkenaan haiwan yang jarang atau belum pernah dijumpai. Pendedahan menarik berkenaan haiwan akan membuka mata para pembaca bahawa haiwan boleh mendatangkan manfaat yang begitu banyak kepada manusia.
Edisi 12
Pengetahuan tentang sistem solam sekarang tidak terhad kepada orang dewasa semata-mata. Kanak-kanak kini juga telah didedahkan dengan pengeatahuan seperti planet-planet yang ada di galaksi selain bumi. Melalui tema ini, segala persoalan yang bermain difikiran para pembaca berkenaan sistem solar akan dirungkaikan.
Edisi 11
Budaya merujuk kepada cara hidup. Kekayaan budaya pula ialah budaya yang menyatukan kepelbagaian tradisi, bahasa dan bangsa. Tema kali ini memberi kefahaman kepada para pembaca tentang kepelbagaian bangsa dan budaya ada di Malaysia khususnya. Para pembaca juga akan diperkenalkan dengan budaya, bahasa, makanan dan pakaian bagi setiap bangsa.
Edisi 10
Tema kali ini dibuat dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada para pembaca untuk memainkan peranan masing-masing dalam pemeliharaan alam sekitar. Kemahiran berfikir kritis para pembaca diasah menerusi segmen-segmen menarik yang merangsang pemikiran para pembaca. Bukan itu sahaja, para pembaca juga akan lebih melibatkan diri dengan masyarakat.
Edisi 9
Tema ini akan membawa para pembaca ke dalam sebuah pengembaraan menerokai kepelbagaian bahasa. Menerusi kandungan yang menarik dan interaktif, para pembaca akan menambah ilmu pengetahuan seperti perkataan dan frasa baru yang boleh digunakan dalam perbualan harian. Bukan itu sahaja, para pembaca akan lebih berfikiran terbuka apabila membaca kisah-kisah dengan versi bahasa yang berlainan.
Edisi 8
Tema kali ini bertujuan untuk membantu murid untuk bersedia menghadapi sesi persekolah yang bakal menjelma. Berbekalkan tip-tip dan aktiviti interaktif untuk mengingatkan mereka kembali terhadap pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari, ia akan meningkatkan keyakinan mereka untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Secara tidak langsung ia memastikan transisi dari satu tahun ke tahun yang berikutnya tampak mudah.
Edisi 7
Cuti sekolah telah pun tiba! Mari lakukan aktiviti-aktiviti menarik bagi mengisi masa yang terluang. Dari eksperimen STEM yang menyeronokkan ke seni kraf tangan yang cantik, para pembaca pasti tidak berasa bosan. Terokai kemahiran dan hobi yang baru sambil cabar diri melakukan satu cabaran yang mampu meningkatkat kreativiti. Mari jadikan cuti kali ini sebagai satu pengembaraan yang tidak boleh dilupakan.
Edisi 6
Mari meneroka nilai-nilai empati, simpati dan kebaikan yang ada dalam masyarakat. Tema kali ini menggalakkan para pembaca untuk menghayati nilai-nilai kemanusiaan untuk membina persekitaran yang harmoni. Para pembaca juga akan didedahkan akan kepentingan membantu mereka yang memerlukan, mengambil berat akan orang sekeliling dan menunjukkan contoh yang baik untuk membentuk masa hadapan yang lebih terjamin.
Edisi 5
Bumi ini dipenuhi dengan pelbagai jenis haiwan dan makanan yang menarik. Para pembaca akan meneroka kepelbagaian spesies serta habitat haiwan dan pengaruh makanan dalam budaya. Tema ini menekankan kepentingan memelihara haiwan, amalan pemakanan seimbang dan tanggungjawab terhadap global. Melalui fakta menarik, aktiviti dan kisah yang menarik, para pembaca akan lebih menghargai haiwan dan makanan.
Edisi 4
Tema kali ini meraikan Hari Malaysia sebagai satu peristiwa penyatuan negara Malaysia. Ia memperingati segala susah payah yang dialami rakyat dari pelbagai latar belakang bagi membentuk sebuah negara yang makmur. Tema ini menginspirasikan para pembaca untuk lebih menghargai Malaysia yang kaya dengan sejarah di samping menyumbang bakti untuk mencapai keharmonian yang sejati di bumi Malaysia.
Edisi 3
Bersempena Hari Kemerdekaan, tema kali ini membawa para pembaca dalam satu pengembaraan merentasi masa bagi menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Pengorbanan, penyatuan dan pengorbanan tokoh-tokoh ini akan disemat dalam diri para pembaca untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang peranan mereka dalam membentuk masa hadapan Malaysia.
Edisi 2
Hubungan sesama manusia adalah sangat penting dalam kehidupan harian. Setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu dan harmoni. Tema kali ini menekankan bagaimana perbuatan baik dan empati akan mengukuhkan ikatan persahabatan dan kemasyarakatan. Melalui tema ini juga para pembaca akan belajar cara menyemai kasih sayang, hormat dan pemahaman dalam hubungan silaturahim. Kesannya, dunia yang aman dan damai dapat dihasilkan.
Edisi 1
Tema kali ini meraikan ayah sebagai seorang wira bagi anak-anaknya. Para pembaca akan didedahkan dengan pengorbanan seorang insan bergelar ayah supaya mereka dapat menghargai segala keringat ayah mereka. Terdapat bermacam cara untuk menghargai ayah. Antaranya ialah meringankan beban mereka, menggunakan perkataan yang sopan dan macam-macam lagi.