Vertical Line Image
Konseptual vs Menghafal
oleh MindLoops, 02 Jul 2024

“Belajar dan menghafal adalah dua proses yang berbeza. Perbezaan terbesar dapat dilihat dari sudut pemahaman maklumat” kata seorang doktor bidang fizik gunaan dari Universiti Tohoku, Jepun, Hasanudin Abdurakhman. Beliau berpendapat bahawa kaedah konseptual adalah lebih efektif berbanding kaedah menghafal. 

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa kedua-dua kaedah ini memainkan peranan yang tersendiri dalam sesi pembelajaran. Para pelajar sering menggunakan kaedah ini bagi membantu mereka dalam memahami sesuatu topik pembelajaran. Hal ini kerana setiap kaedah mempunyai keunikan tersendiri yang mampu memberi kesan yang positif terhadap diri pelajar. 

Kaedah pembelajaran konseptual merupakan satu kaedah yang menitikberatkan pemahaman konsep-konsep bagi sesebuah pelajaran supaya mereka bukan sahaja mengingati fakta, tetapi juga dapat menerapkan konsep-konsep tersebut dalam situasi sebenar. 

Manakala kaedah pembelajaran menghafal adalah satu teknik yang digunakan untuk mempelajari serta mengingati maklumat dengan cara mengulangnya secara berulang kali. Pendekatan ini memerlukan usaha yang berterusan agar maklumat yang diingati kekal dalam tempoh jangka panjang. 

 KONSEPTUAL MENGHAFAL 
KONSEP Pemahaman Penghafalan 
TEKNIK Pengaplikasian Pengulangan 
APLIKASI Fleksibel Terhad 
MEMORI Jangka panjang Jangka pendek 
KEFAHAMAN Terperinci Asas 

1. Kaedah Pembelajaran Konseptual 

blog image
  1. Konsep Pemahaman: Pendekatan ini memfokuskan kepada memahami prinsip, teori dan konsep asas di sebalik subjek atau topik. 
  2. Teknik Pengaplikasian: Pelajar digalakkan untuk menerapkan pemahaman mereka tentang konsep untuk menyelesaikan masalah, menganalisis situasi, dan membuat hubungan dengan situasi harian. Ini menggalakkan pemikiran kritis, kreatif, dan kemahiran menyelesaikan masalah.
  3. Aplikasi Fleksibel: Pelajar dapat mengaplikasi pengetahuan mereka dalam situasi harian dengan pelbagai strategi yang kreatif dan inovatif.
  4. Memori Jangka Panjang: Maklumat yang diingati kekal dalam tempoh yang lama disebabkan oleh pemahaman yang mendalam terhadap maklumat tersebut. 
  5. Kefahaman yang Mendalam: Pelajar arif tentang sesuatu maklumat disebabkan oleh kajian yang terperinci seperti bertanya soalan, meneroka hubungan dan menstruktur pemahaman mereka sendiri.

2. Kaedah Pembelajaran Menghafal

blog image
  1. Konsep  Penghafalan: Pendekatan ini melibatkan hafalan fakta, angka, formula atau prosedur tanpa semestinya memahami konsep asas. Ia memberi tumpuan kepada menghafal maklumat untuk proses mengingat kembali.
  2. Teknik Pengulangan: Pelajar mengulang maklumat yang hendak diingati secara berkali-kali melalui latihan, kad imbas atau pengulangan fakta.
  3. Aplikasi Terhad: Pelajar mengalami sedikit kesukaran dalam mengaplikasi maklumat dalam kehidupan seharian. Hal ini berpunca daripada ceteknya pemahaman berkenaan sesuatu perkara.
  4. Memori Jangka Pendek: Maklumat yang dihafal boleh dikekalkan dalam jangka pendek, terutamanya untuk tujuan lulus peperiksaan atau ujian. Walau bagaimanapun, tanpa pemahaman yang lebih mendalam tentang maklumat tersebut, pengekalan mungkin terhad dari semasa ke semasa.
  5. Kefahaman Asas: Pelajar memberi tumpuan kepada mengingati maklumat asas tanpa memahaminya secara terperinci terlebih dahulu.

Kesimpulannya, konseptual menekankan pemahaman, aplikasi, dan pemikiran kritikal. Ia juga menggalakkan pembelajaran yang lebih mendalam dan pengekalan jangka panjang. Menghafal sebaliknya memberi tumpuan kepada pembelajaran asas dan mengingati fakta, yang mungkin berguna dalam konteks tertentu tetapi mungkin tidak membawa kepada pemahaman yang mendalam atau pengekalan pengetahuan.

Sumber rujukan:

  1. Metode Pembelajaran Menghafal: Menaklukkan Hafalan dengan Gaya Penulisan Jurnalistik Bernada Santai - PerpusTeknik.com
  2. Metode Pembelajaran Konseptual: Membuat Belajar Lebih Menyenangkan dan Efektif - PerpusTeknik.com


Kategori Berkaitan

Artikel Berkaitan
Tutor
Cara Memuji Kanak-Kanak Dengan Kata-Kata
Tutor
Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak
Tutor
Cara Mengatur Jadual Kerja Sekolah

Terokai lagi

Teknik Belajar

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva

1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Tutor

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak

Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Kejuruteraan

Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi

Credit to: Fauzan Aziz