Komunikasi adalah elemen yang amat penting untuk membina hubungan yang erat antara ibu bapa dan anak. Namun, pada era yang serba moden ini, segelintir ibu bapa yang bekerja sukar meluangkan masa dengan anak-anak disebabkan oleh kekangan masa. Mana tidaknya, hari-hari mereka disibukkan dengan mencari nafkah demi menampung keperluan hidup di zaman yang penuh mencabar ini. Akan tetapi, tanggungjawab sebgai ibu bapa tidak boleh dipandang remeh. Anak, khususnya yang masih kecil lagi memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar ibu bapa. Oleh sebab itu, komunikasi memainkan peranan yang penting untuk mempengaruhi anak dalam membentuk peribadi diri yang baik. Terdapat 5 tip yang boleh dijadaikan panduan bagi ibu bapa di luar sana.

1. Mendengarkan anak
Mendengarkan anak akan membuatkan mereka merasa yang diri mereka dihargai. Ibu bapa perlu berikan sepenuh perhatian kepada anak ketika mereka sedang berceloteh kerana ini dapat membantu mereka untuk memberpaiki kemahiran berkomunikasi. Sebaik-baiknya, ibu bapa fokus hanya kepada anak, tidak sambil menonton televisyen atau memegang telefon bimbit.

2. Bercakap dengan jelas
Gunakan bahasa yang sopan dan mudah difahami bersesuaian dengan usia anak. Maklumat yang hendak disampaikan kepada anak hendaklah dalam keadaan yang jelas agar ia dapat menjadi contoh ikutan bagi anak. Bak kata pepatah “Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi”.

3. Tegas bukannya amarah
Ibu bapa perlu tegas dalam menegur kesalahan yang dilakukan oleh anak. Tegur kesalahan yang dilakukan oleh anak dengan nada yang tegas dan bukannya memberi kritikan kerpada mereka. Contohnya, daripada berkata “Pengotorlah awak ni” adalah lebih baik untuk menggunakan “Ibu tak suka bila awak kotorkan bilik”.

4. Meluahkan perasaan
Kecerdasan emosi anak dapat berkembang dengan baik apabila mereka meluahkan perasaan. Apabila anak sedang meluahkan perasaan, dengarkan kepada apa yang cuba mereka sampaikan dengan empati. Sekiranya anak ekspresikan emosi mereka melalui perbuatan seperti ketawa bahkan mengamuk sekalipun, bantu mereka untuk meluahkan apa yang ada dalam hati mereka dengan cara yang terbaik. Contohnya seandainya mereka marah, pastikan mereka meluahkan perasaan dengan orang tuanya dan bukan dengan cara mengamuk.

5. Tunjukkan contoh yang baik
Ibu bapa perlu maklum bahawa mereka adalah model ikutan bagi anak mereka. Ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan peribadi dan sifat anak. Setiap gerak geri dan tingkah laku ibu bapa yang diperhatikan anak adalah sama penting dengan setiap perkara yang keluar daripada mulut ibu bapa. Anak hanya akan meniru apa yang dilihat dan didengar daripada ibu bapa. Maka, ibu bapa harus ingat bahawa menunjukkan contoh yang baik adalah cara yang terbaik bagi menjalin hubungan di samping berkomunikasi dengan anak.
Terokai lagi

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva
1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi
Credit to: Fauzan Aziz