Vertical Line Image
Atasi Gejala Buli di Sekolah
oleh MindLoops, 27 Feb 2025

Anda pernah kena buli? Atau pernah melihat rakan-rakan lain dibuli? Apa yang anda buat ketika menghadapi situasi itu? Jika berlaku situasi seperti itu, jangan berdiam diri! Bertindak dengan bijak.

Buli merupakan perbuatan menyakiti, menghina, mengancam atau mengganggu seseorang secara fizikal, mental, emosi atau dalam talian secara berulang kali. Pada masa kini, gejala buli semakin berleluasa di mana-mana sahaja termasuklah di sekolah. Pembuli akan melakukan pelbagai cara dan taktik untuk menakutkan mangsa.

Apa langkah yang perlu dilakukan jika anda menjadi mangsa buli atau melihat rakan anda dibuli di sekolah?

blog image

Langkah pertama untuk mengatasi masalah ini adalah dengan meningkatkan kesedaran mengenai apa itu buli dan kesannya. Ramai pelajar terutamanya murid sekolah rendah tidak menyedari bahawa tindakan mereka dianggap sebagai buli dan mangsa yang dibuli pula tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan bantuan. 

Program kesedaran tentang buli merangkumi ceramah, bengkel dan aktiviti yang melibatkan semua warga sekolah dan masyarakat setempat dalam menyebarkan maklumat tentang tanda-tanda buli, jenis buli dan kesan-kesannya. Adalah lebih baik lagi jika pihak sekolah dapat menyediakan bahan pendidikan seperti poster atau risalah yang mengandungi maklumat buli dan nombor telefon bantuan yang boleh dihubungi oleh mangsa buli. 

blog image

Selain itu, gejala ini boleh diatasi jika pihak sekolah mewujudkan persekitaran yang selamat dan pelajar akan berasa dilindungi semasa berada di sekolah. Tegaskan bahawa gejala buli tidak akan diterima dan akan dikenakan tindakan disiplin yang sewajarnya.

Pihak sekolah perlu menyediakan peti aduan dan mewujudkan kumpulan sokongan dalam kalangan pelajar yang terlatih seperti pembimbing rakan sebaya untuk membantu mangsa buli. Mangsa buli juga boleh membuat aduan secara rahsia melalui peti aduan. Guru kaunseling akan melakukan siasatan sebaik sahaja menerima aduan tersebut. Jadi jangan takut untuk meminta bantuan dan mendapatkan sokongan emosi dari semua pihak berwajib.

blog image

Langkah seterusnya adalah dengan melibatkan ibu bapa dan komuniti setempat. Mereka juga perlu mengambil peranan ini. Wujudkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dengan anak. Tanya anak-anak bagaimana pengalaman mereka di sekolah. Ajarkan mereka supaya mengabaikan pembuli, menjauhkan diri, atau melaporkan kepada guru jika mereka dibuli. 

Di zaman dunia teknologi ini, ibu bapa perlu memantau dan lebih cakna dengan media sosial anak-anak mereka. Ini kerana, terdapat juga situasi buli berlaku secara dalam talian (cyberbullying). Ambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan masalah buli menjadi lebih buruk. 

blog image

Ingat ya! Buli bukanlah perkara gurauan yang boleh dianggap ringan atau sebagai bahan ketawa. Ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada mangsa dan pelaku. Apa yang lebih buruk lagi, gejala ini sangat memberi tekanan emosi kepada mangsa buli sehingga menyebabkan mereka mengalami masalah kemurungan. 

Untuk mengatasi masalah buli di sekolah memerlukan usaha yang berterusan dan kerjasama dari semua pihak. Ingatlah bahawa pelajar berhak mendapatkan persekitaran pembelajaran yang bebas dan selamat daripada gejala buli dan keganasan.

 

Ditulis oleh Raimy Syarafina binti Rohim


Kategori Berkaitan

Artikel Berkaitan
Kaunseling
Terapi Tingkah Laku Kognitif
Kaunseling
Cara Dekati Mangsa Buli
Kaunseling
Jenis Kesihatan Mental Murid dan Cara Kendalikan
Kaunseling
Prinsip Psikologi dalam Pembelajaran Efektif

Terokai lagi

Teknik Belajar

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva

1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Tutor

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak

Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Kejuruteraan

Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi

Credit to: Fauzan Aziz