Vertical Line Image
Peranan Kaunselor Terhadap Masa Hadapan Pelajar
oleh MindLoops, 02 May 2024

Berdasarkan data kaji selidik Jabatan Perangkaan pada 2019, terdapat kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pengajian. Data kajian ini membabitkan 560, 000 calon SPM yang telah mengambil peperiksaan tersebut. Daripada angka tersebut, seramai 170, 000 calon telah memilih untuk menyambung pengajian manakala selebihnya memasuki pasaran kerja.

Manakala menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 24, 941 daripada 407, 097 calon berdaftar tidak menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2021. Pada masa yang sama seramai 45, 526 calon yang menduduki peperiksaan SPM tidak layak mendapat sijil kerana gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya. 

Antara faktor utama yang mempengaruhi generasi muda kini supaya tidak menyambung pengajian ialah kerana terpengaruh dengan gaya hidup mewah pempengaruh di media sosial yang mempromosi budaya tidak perlu menyambung pengajian serta berpendidikan tinggi bukanlah jaminan untuk mendapat pekerjaan lebih baik. Selain itu, masalah kewangan juga menjadi antara faktor utama generasi kini tidak berminat menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Menurut mantan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Mohd Radzi bin Jidin, kaunselor di sekolah dilatih untuk memahami keperluan majikan pada masa akan datang supaya boleh membantu pelajar mengetahui hala tuju mereka selepas tamat persekolahan. 

Justeru, guru-guru di sekolah terutamanya guru kaunselor perlulah memainkan peranan untuk mendidik murid-murid supaya dapat memilih haluan yang sesuai dengan keperluan industri pekerjaan masa kini. 

Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh kaunselor di sekolah ialah mengetahui kaedah yang sesuai untuk membantu pelajar mengenal pasti minat dan kecenderungan mereka ke arah bidang pengajian yang sesuai seterusnya mencipta peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.

Berikut ialah beberapa perkara yang dicadangkan kepada pihak kaunselor sekolah untuk membantu para pelajar membuat keputusan yang relevan bagi merancang masa hadapan mereka.

1. Nyatakan matlamat

  • Kaunselor perlu membimbing pelajar untuk menyatakan matlamat dalam hidup mereka terutama sekali apakah impian dan cita-cita pelajar tersebut. Ia penting supaya kaunselor dapat mengenal pasti apakah bidang yang sesuai untuk diterokai pelajar tersebut.

2. Lakukan kajian tentang bidang tersebut

  • Setelah pelajar menyatakan impian atau cita-citanya, kaunselor boleh terus menggali maklumat tentang bidang tersebut dan perkara berkaitan bidang tersebut. Contohnya, permintaan tenaga kerja dalam bidang tersebut dan kebolehpasaran graduan.

3. Kenal pasti kursus yang sesuai

  • Kaunselor perlu melakukan carian tentang kursus yang sesuai berdasarkan minat pelajar tersebut. Sesetengah kerjaya mempunyai beberapa cabang kursus yang berbeza, namun membawa kepada pecahan-pecahan kerjaya baharu selari dengan peredaran zaman.

4. Kenal pasti kelayakan untuk kursus tersebut

  • Perkara ini perlu diterangkan dengan jelas kepada para pelajar. Ini kerana ia melibatkan kelayakan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Para pelajar perlu mengetahui apakah kelayakan minimum dan kelayakan khas yang diperlukan untuk sesuatu kursus yang ingin disertai.

5. Lakukan carian alternatif

  • Selain itu, kaunselor juga boleh melakukan carian untuk mencadangkan kursus lain sebagai alternatif sekiranya kaunselor dapat mengenal pasti kecenderungan seseorang pelajar itu terhadap bidang lain. 
  • Sebagai contoh, pelajar berminat dalam bidang kejuruteraan, namun mempunyai kemahiran asas teknikal yang boleh dikembangkan. Maka, kaunselor boleh mencadangkan kursus kemahiran untuk pelajar tersebut sebagai alternatif untuk menyambung pengajiannya kelak.

6. Merancang sumber kewangan

  • Untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi ia memerlukan kos yang tinggi. Justeru, perancangan sumber kewangan juga penting dan perlu diambil kira berdasarkan kemampuan kewangan diri dan keluarga. 
  • Pihak kaunselor boleh mencadangkan institusi kewangan yang menyediakan pinjaman pelajaran seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN). Kaunselor juga boleh menggalakkan pelajar untuk berusaha mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM dan layak untuk memohon biasiswa pendidikan seperti Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dan biasiswa daripada pihak kerajaan negeri.

7. Bina rangkaian profesional dalam bidang berkaitan

  • Membina rangkaian kenalan profesional dalam bidang yang ingin diceburi ibarat selangkah dalam usaha mencari pekerjaan. Kaunselor boleh menyarankan kepada pelajar untuk mencari pengalaman dalam pekerjaan berkaitan bidang yang mereka minati. 
  • Contohnya, jika pelajar tersebut meminati bidang Sains Komputer, sarankan kepada pelajar tersebut untuk bekerja sambilan selepas tamat persekolahannya. 
  • Bekerja secara sambilan di pusat teknologi maklumat ataupun pusat komputer akan membantu pelajar mendapatkan pengalaman bekerja dalam bidang berkaitan. Pelajar juga berpeluang mempelajari kemahiran teknikal dan interpersonal melalui pekerjaan tersebut sebelum melangkah ke institut pengajian tinggi kelak.

8. Perancangan laluan kerjaya

  • Selain itu, kaunselor juga boleh membantu para pelajar untuk melakukan perancangan laluan kerjaya mereka setelah mereka mendapat maklumat yang cukup tentang bidang yang ingin mereka ceburi.
  • Perancangan kerjaya boleh dirancang dengan menyenaraikan laluan yang perlu dilalui pelajar tersebut selepas tamat persekolahan mereka.
  • Berikut ialah beberapa contoh laluan selepas tamat persekolahan tingkatan lima sebagai rujukan:
  
 

Berdasarkan maklumat dan cadangan yang telah ditulis di atas, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa peranan guru terutamanya kaunselor sekolah amat penting untuk menarik minat pelajar supaya menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi. 

Ini penting kerana generasi muda adalah pewaris negara ini. Sekiranya kita mempunyai lambakan generasi muda yang tidak celik ilmu, masa hadapan negara kita mungkin akan menjadi mundur berbanding dengan negara lain di sekitar rantau Asia Tenggara ini. 

Justeru, kaunselor dan pihak sekolah perlu lebih proaktif dalam menangani isu seperti ini. Jika tidak dibendung, peratusan angka calon SPM yang tidak berminat untuk menyambung pengajian seperti yang disebut pada awal artikel ini mungkin akan meningkat menjadi lebih kritikal.

Sumber rujukan:

  1. Kaunselor main peranan penting bimbing pelajar ketahui hala tuju selepas SPM | Astro Awani
  2. Lepasan SPM Tidak Sambung Belajar: Apa Solusinya? | IKRAM


Kategori Berkaitan

Artikel Berkaitan
Kaunseling
Terapi Tingkah Laku Kognitif
Kaunseling
Cara Dekati Mangsa Buli
Kaunseling
Jenis Kesihatan Mental Murid dan Cara Kendalikan
Kaunseling
Prinsip Psikologi dalam Pembelajaran Efektif

Terokai lagi

Teknik Belajar

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva

1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Tutor

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak

Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Kejuruteraan

Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi

Credit to: Fauzan Aziz