Vertical Line Image
Tingkah Laku Malu Tidak Wajar Di Sekolah dan Cara Atasinya
oleh MindLoops, 19 Dec 2024

Islam mengajar umatnya untuk membenteng diri dengan sifat malu. Malu yang dituntut dalam agama adalah seperti malu berpakaian tidak menutup aurat, malu melakukan perbuatan yang dikeji dan seumpamanya. Dalam konteks murid di sekolah pula, sifat malu yang sebenar haruslah cenderung ke arah kebaikan murid itu sendiri seperti malu berpakaian tidak kemas, malu tidak menghantar kerja rumah dan sebagainya. Inilah yang dikatakan malu yang wajar dan sesuai pada tempatnya. 

Bagaimana pula dengan malu yang tidak wajar khususnya dalam kalangan murid di sekolah? Semak lima tingkah laku berikut; 

  1. Bercakap dengan suara yang amat perlahan dan sukar didengari. 
  2. Memalingkan muka atau tiada kontak mata sewaktu berkomunikasi. 
  3. Sengaja membiarkan diri menjadi individu yang terakhir dalam apa jua aktiviti. 
  4. Melarikan diri atau bersembunyi apabila terserempak dengan guru atau rakan. 
  5. Enggan menyertai aktiviti yang dilaksanakan secara berkumpulan di dalam bilik darjah. 

Tingkah laku malu yang tidak wajar seperti yang disebutkan di atas akan menjadi kronik jika dibiarkan berterusan tanpa sebarang tindakan. Untuk menanganinya, kerjasama dan sokongan daripada ibu bapa dan guru amatlah diperlukan demi membentuk sahsiah murid yang cemerlang dan boleh diteladani. 

Sebagai ibu bapa, galakkan anak-anak untuk meluangkan aktiviti berfaedah bersama rakan-rakan mereka di luar sekolah. Hal ini penting untuk mereka membina dan mengembangkan kemahiran bersosial bersama rakan-rakan. Namun perlu diingatkan bahawa ibu bapa juga haruslah bijak dalam menetapkan garis panduan dan batasan yang perlu diikuti oleh anak-anak mereka dalam bersosial.  

Bagi guru pula, wujudkan pembelajaran berpusatkan murid di dalam bilik darjah. Galakkan murid untuk bergiat aktif semasa sesi pembelajaran dan pengajaran (pdp) berlangsung. Dalam situasi ini, guru hanya berperanan sebagai pembimbing murid, dan murid perlu menjadi aktif serta bertanggungjawab dalam pembelajaran mereka sendiri dengan pantauan guru. Ini berbeza dengan pdp tradisional yang mana murid cenderung bersifat pasif apabila guru mengendalikan sepenuhnya sesi pdp pada waktu tersebut.   

Dalam konteks murid, raikan rakan-rakan yang berada di sekeliling anda. Berikan sokongan dan dorongan semampu yang boleh. Jika melihat rakan anda sedang bersendirian, pergi kepadanya dan ajaklah berkomunikasi ke arah yang positif dan membangun. Adalah lebih baik sekiranya murid yang berkebolehan dalam pembelajaran membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang lemah atau tidak bernasib baik dalam pembelajaran mereka. Ini bagi membolehkan wujudnya persekitaran yang harmoni di dalam bilik darjah sekali gus mampu mengurangkan rasa ketidakyakinan rakan sekelas yang pemalu untuk menonjolkan diri semasa sesi pdp berlangsung.  

Kesimpulannya, keterlibatan guru dan ibu bapa dalam mengatasi tingkah laku malu murid ke arah yang tidak wajar amat membantu diri murid untuk berkembang dalam bidang akademik dan sosial. Walau bagaimanapun, saranan ini tidak akan berhasil dengan jayanya jika anda sebagai murid tidak komited untuk berubah ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.  

 


Kategori Berkaitan

Artikel Berkaitan
Pengetahuan Am
Kenali Istilah Cuaca
Pengetahuan Am
Gajet dan Obesiti
Pengetahuan Am
Sekolah Pertama untuk Pelajar Lelaki
Pengetahuan Am
Adakah Rawatan Gigi Membatalkan Puasa?

Terokai lagi

Teknik Belajar

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva

1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Tutor

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak

Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Kejuruteraan

Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi

Credit to: Fauzan Aziz