Apa itu Pendidikan Robotik?

Jika anda melihat gambar yang ditunjukkan, apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran anda?
Ya. Pendidikan robotik ialah satu pendekatan pembelajaran yang menggabungkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam menguasai kemahiran asas teknologi robot. Pembelajaran ini memberi peluang kepada kanak-kanak mempelajari ilmu pengaturcaraan dan sains komputer. Kanak-kanak juga akan mampu membina dan mengawal robot menggunakan peralatan seperti LEGO Mindstorm, Arduino, Raspberry Pi dan perisian pengaturcaraan seperti Scratch.
Kepentingan Pendidikan Robotik Untuk Kanak-Kanak

1. Mengembangkan kemahiran STEM
Pendidikan robotik akan menggabungkan elemen STEM yang membantu kanak-kanak memahami konsep teknikal melalui kemahiran yang praktikal.

2. Meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah
Melalui pengaturcaraan yang dibina, kanak-kanak akan belajar berfikir secara kritis untuk menyelesaikan masalah jika terdapat kesilapan dalam memprogram robot mereka.

3. Meransang kreativiti dan inovasi
Kanak-kanak akan berupaya mereka bentuk dan memprogram robot dengan bebas mengikut kreativiti masing-masing. Pendekatan ini dapat mewujudkan imaginasi mereka dalam mencipta dan mereka bentuk.

4. Meningkatkan kerjasama dan kemahiran sosial
Kebanyakan projek robotik dilakukan secara berkumpulan. Ini akan menggalakkan semangat kerja berpasukan dan komunikasi yang berkesan. Mereka juga akan belajar untuk menjalankan tugas masing-masing yang telah ditetapkan dalam kumpulan.

5. Persediaan menghadapi dunia digital
Kepesatan dan kemajuan dunia teknologi pada masa kini menyebabkan kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal terhadap ilmu robotik. Ini bertujuan untuk membantu mereka bersedia untuk dunia digital pada masa hadapan.
Kesimpulannya, pendidikan robotik merupakan satu pendekatan inovatif yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia teknologi, malah membantu membentuk kemahiran berfikir secara logik, kreatif dan kolaboratif. Kanak-kanak akan lebih seronok mempelajari kemahiran praktikal melalui pendidikan robotik jika diasah dari usia muda.
Ditulis oleh Raimy Syarafina binti Rohim
Terokai lagi

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva
1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi
Credit to: Fauzan Aziz