Kehidupan zaman kini tidak lari dari arus pemodenan yang serba pantas dan saling berkait dengan trend media sosial. Sedari usia kanak-kanak, dewasa bahkan hingga ke golongan tua, rata-ratanya adalah pengguna internet dan berdasarkan data statistik, purata penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia adalah mencecah 42 jam seminggu.
Tahukah anda, trend yang biasa ditayangkan oleh pengguna media sosial amat mempengaruhi cara kita berfikir, berinteraksi dan mengekspresikan diri antara satu sama lain? Kebiasaannya, trend ini bersifat mudah tersebar luas dan mudah juga tenggelam apabila munculnya trend baharu yang lain.
Tidak dinafikan bahawa ada segelintir masyarakat yang tidak mahu terlepas dari mengikuti trend semasa dan ada juga segelintir daripadanya yang kurang berminat untuk menjebakkan diri dalam trend media sosial ini. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk kita, sebagai pengguna media sosial, mempertimbangkan tiga perkara ini sebelum mengikuti trend-trend ini secara membuta tuli.
1) Tidak bercanggah dengan syariat Islam
Ingat, bab-bab agama tidak boleh dibuat main. Perhalusi setiap trend yang dibawa dan nilailah dengan akal dan mata hati. Adakah trend ini melawan hukum agama Islam? Lebih-lebih lagi trend yang diiringi dengan lagu latar. Periksa liriknya terlebih dahulu. Jika melibatkan makanan pula, adakah ia halal lagi baik? Adakah ia bersih dan selamat untuk dimakan? Bagaimana pula dengan trend yang melibatkan batas pergaulan dan aurat? Tepuk dada tanya iman. Janganlah dek kerana mengejar populariti dan meraih perhatian manusia, anda sanggup menggadaikan agama dan maruah!
2) Tidak memudaratkan tubuh badan
Tubuh badan merupakan anugerah Tuhan yang harus kita jaga dan pelihara. Mempunyai kesihatan yang baik adalah satu bentuk nikmat dan rezeki yang ramai tidak sedar. Pernahkah anda mendengar trend yang berbentuk seakan menyahut cabaran seperti Blackout Challenge dan Skull Breaker Challenge? Trend ini tersangatlah bahaya dan boleh mengundang maut. Tidak kurang juga dengan trend yang meminta anda memakan benda-benda yang mendatangkan mudarat seperti menelan garam dengan kuantiti yang banyak sekali gus. Logiknya, keseronokan yang anda perolehi pada ketika itu hanyalah bersifat sementara, jika dibandingkan dengan penderitaan penyakit yang dialami akibat perbuatan sendiri. Perbuatan tersebut sangatlah tidak berbaloi. Jadi, mahu yang mana? Segalanya terletak di tangan anda, kerana badan anda, tanggungjawab anda.
3) Tidak mengganggu ketenteraman awam
Lulus soal hukum agama, tidak membahayakan tubuh badan, tetapi mengundang ketidakselesaan orang awam? Lupakan saja trend ini. Apatah lagi jika ia boleh mengakibatkan kerugian mana-mana pihak. Hormatilah individu di sekeliling. Terapkan kesedaran sivik dalam diri anda. Bukankah Islam menyuruh umatnya menyantuni dan menunjukkan keprihatinan sesama manusia? Elakkan daripada menjadikan orang lain sebagai bahan jenaka. Bergurau juga biarlah bertempat dan berpada-pada. Paling penting, kurangkan ego, hiasi diri dengan adab dan sentiasalah ada ‘common sense’ walau siapapun anda dan di manapun anda berada.
Manusia diciptakan mempunyai akal fikiran yang boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Usahlah meniru perbuatan yang langsung tidak mendatangkan faedah. Banyak pro dan kontra yang dapat kita perhatikan dalam sesebuah platform media sosial. Semuanya bergantung kepada bagaimana cara kita mengendalikannya. Samalah juga seperti sebilah pisau yang terdapat dua sisi; sisi yang baik adalah ia membantu kita memotong buah, sayur dan sebagainya, namun sisi yang buruk adalah apabila kita menggunakannya untuk mencederakan orang lain. Oleh itu, jom sama-sama perbaiki diri ke arah yang lebih baik dan positif! Gunakan kebijaksanaan anda sebelum melakukan apa-apa tindakan. Jika tidak, buruk padahnya.
Terokai lagi
Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva
1. Log Masuk Canva: Buka laman...
Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...
Projek Binaan Menggunakan Pencungkil Gigi
Credit to: Fauzan Aziz